Rempit eBay

Sunday 17 June 2012

Pembayaran Dan Sistem Maklum Balas di eBay

Pembayaran

Bayaran untuk transaksi eBay dijalankan antara pembeli dan penjual, di mana pembida tertinggi secara tidak langsung telah membentuk satu kontrak undang-undang dengan penjual. Oleh yang demikian, pembida tidak boleh sewenangnya tidak membayar kepada penjual selepas memenangi sesuatu lelongan.

Pembeli boleh menghantar pembayaran melalui cek, pindahan bank, tunai terus atau melalui sistem pembayaran elektronik. Walaubagaimanapun, tidak semua penjual akan menerima semua bentuk kaedah pembayaran.

Bentuk pembayaran atas talian paling popular di eBay adalah PayPal yang membolehkan anda membuat dan menerima bayaran menggunakan kad kredit atau debit dengan yuran yang kecil. PayPal biasa digunakan di eBay kerana ia adalah lebih selamat dan lebih cepat berbanding bentuk pembayaran yang lain.

Contoh pembayaran menggunakan PayPal:

Pembeli ingin membayar kepada penjual RM 40 untuk belian produk di eBay.

Pembeli mendaftar dengan PayPal dan menggunakan kad kredit untuk menambah RM 40 (+ yuran transaksi kecil) ke akaun PayPal, kemudian menghantar pembayaran tersebut kepada penjual. Penjual menerima RM 40 dalam akaun PayPal mereka dan seterusnya boleh dipindahkan ke bank tempatan atau kad debit mereka.



Maklum Balas Transaksi (Feedback)

Untuk melindungi pengguna daripada pembeli dan penjual yang tidak jujur, eBay mengendalikan satu sistem maklum balas selepas setiap transaksi untuk pembeli dan penjual bagi membolehkan mereka meninggalkan komen positif, negatif atau neutral.

Sistem ini membolehkan anda untuk melihat berapa banyak pembelian dan jualan telah dibuat, dan menilai maklum balas setiap transaksi terdahulu bagi mengenalpasti sama ada mereka jujur atau sebaliknya.

Jumlah maklum balas anda akan bertambah dengan nilai 1 untuk setiap orang yang meninggalkan maklum balas yang positif, dan akan bernilai -1 untuk setiap orang yang meninggalkan maklum balas negatif. Oleh itu, jika anda mempunyai 10 maklum balas positif dan 1 negatif, maka skor maklum balas anda akan menjadi 9 daripada 11 transaksi. Maklum balas yang neutral tidak menjejaskan skor anda.

Sebagai contoh:

Nama eBay: MyBuyer

Bilangan item: 1234, Positif (+1): Bayar pada masa yang ditetapkan
Bilangan item: 1235, Positif (+1): Komunikasi dengan penjual A+
Bilangan item: 1236, Negatif (-1): Bayaran lambat diterima

Oleh itu,

Jumlah Transaksi: 3
Maklum Balas Positif: 2
Maklum Balas Negatif: 1
Skor Maklum Balas: 1

Disebabkan rekod maklum balas anda akan sentiasa boleh dilihat oleh pengguna yang lain, maka anda perlu sentiasa memastikan bahawa anda memberikan pembeli atau penjual dengan perkhidmatan terbaik, respon yang cepat, menghantar produk yang telah dibayar dengan kadar segera dan membayar untuk produk yang telah anda menangi dengan cepat.

Secara amnya, menjalankan perniagaan eBay dengan rekod maklum balas yang negatif adalah sesuatu yang hampir mustahil kerana pembeli pasti tidak akan membida atau membeli produk daripada seseorang penjual yang tidak boleh dipercayai.

No comments:

Post a Comment